Aidilfitri 1434H

Salam alaik...
Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan untuk semua. Semoga Aidilfitri kali ini menambahkan lagi makna dalam kehidupan kita. Aidilfitri kali ini lebih meriah kerana ahli keluarga Allahyarham Hj Mohamad Nadzim lengkap untuk beraya di Sungai Petani, Kedah. Saya juga membawa suami saya pulang beraya di Kedah. Abang ipar saya yang berada di Jepun juga pulang beraya di Kedah pada tahun ini.

Saya dan adik beradik yang lain semuanya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing dari negeri yang berbeza. Walaupun dari rumpun yang sama namun budaya setempat berbeza dan perbezaan itulah yang kami semua raikan. Setiap abang dan kakak ipar termasuk suami telah memberikan saya pengalaman yang berbeza dari kampung halaman masing-masing. Dari abang ipar yang sulung yang berasal dari Selangor, saya belajar makan pelbagai jenis burung sawah padi.  Dari kakak ipar kedua, saya dapat menikmati suasana kampung di tepi sawah padi setiap kali menziarahi keluarga beliau di Pulau Pinang. Dari abang ipar ketiga, saya belajar membuat ketupat nasi dan melihat keluarga beliau di Negeri Sembilan mengacau dodol menjelang Aidilfitri. Dari kakak ipar keempat, saya dapat menikmati suasana di pantai Pulau Pangkor, Perak serta makanan laut yang enak. Dari abang ipar kelima, saya dapat merasai suasana majlis perkahwinan Melayu Banjar di kampungnya di Teluk Intan, Perak. Dari abang ipar yang keenam, saya dapat merasai aneka makanan dari kaum Rohingya di Myanmar. Dari suami saya yang berasal dari Pahang dan berketurunan Jawa, selain dari melihat cara tempoyak digunakan di dalam aneka juadah, lebih banyak lagi pengalaman yang berbeza dapat dirasai selepas ini.

Semua pengalaman-pengalaman ini saya hargai dan saya amat gembira dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang telah dibina dengan kehadiran ipar-duai dari pelbagai budaya yang berbeza. Mungkin ada yang mengatakan bahawa lebih mudah jika berkahwin dari kampung yang sama atau negeri yang sama. Kata mereka, tidak susah pulang ke kampung jika dari negeri yang sama. Tidak susah untuk memahami dan mengadaptasi diri dalam budaya kerana dari 'geng' yang sama. Tapi bagi saya, lebih seronok jika kita dapat belajar dari budaya yang berbeza dan dari negeri yang berbeza. Perbezaan inilah yang saya kira dapat membentuk saya untuk lebih menerima kepelbagaian manusia dan sosiobudayanya. Perbezaan dapat membuka minda untuk melihat dunia dengan lebih luas dan tidak hanya termaktub pada budaya setempat sendiri sahaja. Biarpun jarak jauh kampung halaman masing-masing, namun bukankah bermusafir itu hadiah dan ruang yang Allah swt beri untuk kita berdoa kerana doa ketika bermusafir mudah dimakbulkan. Oleh itu,

HARGAI PERSAMAAN
RAIKAN PERBEZAAN

CHERISH THE SIMILARITIES
CELEBRATE THE DIFFERENCES

Wassalam.

P/S: Entri yang akan datang mungkin mengenai perjalanan saya mengenali Yogyakarta, Indonesia.. In Shaa Allah.. 

Comments

Popular posts from this blog

Beginning....

Lousiana's Fried Chicken: Alternative to Kentucky's Fried Chicken

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH TAHAP II (KSSR THP 2) 2014